Select Page

Pernahkah anda tertanya-tanya, “kenapa aku perlukan website? Kan boleh pakai Facebook (atau media sosial yang lain) untuk promosi bisnes?

Itu soalan hebat yang selalu ditanyakan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di dunia.

Apa jawapannya?

Kebaikan Sosial Media

Selain daripada anda boleh buka akaun media sosial secara percuma—tak kira samada untuk individu atau pun bisnes— media sosial seperti Facebook juga mempunyai jutaan pengguna yang boleh berinteraksi dengan anda. Jika digunakan dengan betul, ini membolehkan anda mengembangkan perniagaan anda dengan cepat.

Tak Perlu Pengalaman

Yang bestnya dengan kebanyakkan media sosial, anda tidak perlukan pengalaman teknikal yang tinggi untuk mula guna. Harini Facebook contohnya semakin memudahkan halaman bisnes dibuat, berbanding sebelumnya. Anda tidak perlu tahu apa-apa aspek teknikal, hanya jawab soalan-soalan yang ditanya dalam borang yang mudah dijawab, dan halaman bisness anda di media sosial dah pun tersedia.

Tumpang SEO

Disebabkan hampir kesemua media sosial menghasilkan kandungan yang banyak setiap hari, termasuk akaun bisnes anda, akan menyebabkan ia menjadi pilihan search engine seperti Google. Dengan demikian halaman anda boleh tumpang sekaki jika halaman anda di media sosial itu pun mempunyai banyak kandungan dan popular. Maka anda mendapat ranking secara tak langsung.

Prasarana Pemasaran

Kebanyakkan media sosial yang utama seperti Facebook, Instagram, Google+ dan YouTube juga mempunyai prasarana pemasaran yang hebat. Anda boleh bina database email, jual produk atau perkhidmatan dan banyak lagi di media sosial.

Bina Website Untuk Bisnes Anda

Mempunyai website yang dibina khusus untuk bisnes anda adalah berbeza daripada poin-poin yang telah dijelaskan di atas, terutamanya bila kita bercakap tentang kos. Jika dilakukan secara profesional, kos pembinaan website adalah lebih tinggi daripada membuka akaun media sosial. Itu sudah tentu!

Tetapi bukan itu sahaja perbezaannya. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum membina website untuk bisnes anda.

Daftar Domain Name dan Website Hosting

Untuk bermula, anda perlu membayar kos domain name dan web hosting setiap tahun selama mana anda masih mahu mempunyai website. Domain Name ialah “alamat” bagi website anda (contoh: rekawebsite.com). Website Hosting ialah ruang dan keupayaan Pelayan (Server) yang bertindak menjalankan website anda. Web Hosting juga boleh diibaratkan secara mudah sebagai tapak kepada rumah (website) anda.

Reka, Bangun dan Kemahiran Teknikal

Membina website perlukan kemahiran teknikal, tidak seperti mencipta akaun media sosial. Disebabkan kebanyakkan pemilik website bukanlah pereka website, jadi anda mungkin kena upah seseorang untuk reka, bina dan selenggara website anda pada ketika-ketika tertentu.

Pembina Website (website builders) yang diiklankan percuma dan semudah “drag and drop” juga perlukan  kemahiran teknikal agar website yang dibuat sendiri itu menjadi. Atau anda mungkin menghasilakn website yang syok sendiri.

Pengoptimaan Enjin Carian (SEO – Search Engine Optimization)

Jika anda inginkan website anda pada kedudukan (ranking) yang memuaskan untuk katakunci tertentu, anda perlukan kefahaman asas tentang SEO di halaman anda. Jika anda tidak tahu langsung tentang SEO, anda mungkin perlu upah orang lain untuk membantu anda.

Ini semua hanyalah kos-kos permulaan dalam mempunyai website. Dan disebabkan alasan-alasan inilah ramai yang hanya menggunakan media sosial.

Jadi, kenapa perlu susah-susah dan buang duit untuk bina website?

Jawapannya ialah, kawalan 100%.

Anda Kawal 100% Penampilan Online Anda.

Gila Kawalan.

Sebagai pemilik bisnes, adakah anda rasa anda patut:

a) Buka kedai di dalam kedai orang lain tanpa apa-apa sewa atau

b) Sewa atau miliki tempat sendiri untuk bisnes anda?

Jika anda pilih pilihan pertama, anda terpaksa ikut penyewa/pemilik sebenar tempat itu. Jika mereka tidak mahu anda berniaga di situ lagi, anda kena keluar dan cari tempat lain. Jika mereka tak buka kedai suatu hari, anda pun tak boleh berniaga.

Tetapi jika anda miliki atau menyewa tempat anda sendiri anda mempunyai kawalan atas apa yang anda ingin lakukan. Perubahan dalam perniagaan orang lain tidak sepatutnya menghalang bisnes anda. Begitulah misalan mempunyai website yang anda boleh kawal dan tentukan mengikut perancangan anda daripada menurut sahaja setiap kehendak media sosial yang menyama ratakan semua bisnes pada set-set arahan tertentu.

Tunduk Pada Arahan

Jika anda buka bisnes pada satu atau lebih media sosial, bisnes anda sebenarnya tertakluk pada peraturan dan arahan media sosial tersebut. Mereka boleh buat perubahan sesuka hati, dan anda tidak mempunyai suara untuk membantah. Samada anda tunduk atau anda keluar dan cari platform lain. Jika media sosial itu dibeli, berubah atau ditutup, anda bakal kehilangan pelanggan. Jika pergantungan anda hanya pada media sosial ini, maka anda bakal pula kehilangan bisnes.

Contoh bagi kes ini ialah dalam kes di mana Facebook menukarkan algoritmanya yang menurunkan capaian pelanggan bagi halaman-halaman bisnes. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh pemilik-pemlik perniagaan ini kecuali merungut.  Akhirnya mereka terpaksa tunduk mengikut dan melupakan sahaja kes itu.

Perkara yang sama juga boleh berlaku di media sosial yang lain. Seperti halnya dengan YouTube dan boleh sahaja mula mengenakan bayaran untuk anda meletakkan video di servernya, sebagai contoh lain. Twitter juga boleh memutuskan untuk mengenakan bayaran untuk pemilik bisnes.

Jika anda tidak tunduk dan turut, anda terpaksa keluar dan meninggalkan pengunjung sedia ada.

Website anda adalah Pusat Penampilan Online Anda

Jika anda mempunyai website dan ianya menjadi pusat (center, hub) bagi perniagaan anda, dengan itu anda punyai 100% kawalan terhadap perniagaan anda.

Seperti contoh kedai di atas tadi, anda perlu punyai kedai anda sendiri tetapi disamping itu, anda juga masih boleh meletakkan produk anda untuk dijual di kedai orang lain. Kenapa tidak? Tambah lagi, jika mereka menawarkan anda untuk meletakkan produk anda itu secara percuma.

Anda bukan sahaja punyai kawalan kedai sendiri tetapi anda juga boleh menumpang pasaran orang lain. Sekiranya kedai lain itu tidak mahu lagi menjual produk anda, anda masih mempunyai kedai sendiri.

Begini yang seharusnya anda gunakan media sosial untuk bisnes anda.

Gunakannya sebagai alat pemasaran untuk mendapatkan pengunjung supaya ke kedai (website) anda. Gunakan trafik tersebut untuk mengumpulkan email pelanggan supaya anda boleh kembali berhubungan dengan mereka pada bila-bila masa, dengan cara apa pun, mengikut kehendak dan kawalan anda sendiri.

 

%d bloggers like this: